Pelancaran Buku A. Samad Said menjelang usia 77


I

Semalam ulang tahun A. Samad Said yang ke-77.



II

Selepas Dialog Khas Pengakuan Sutradara Pengarah Bunohan: Dain Said, di Coffee Club Express berlangsungnya Pelancaran Buku Menjelang Ulang Tahun ke 77, A. Samad Said pada pukul 4.00 petang. Pelancaran berlangsung lancar dengan persembahan pembukaan oleh anak A. Samad Said, Az Samad dan penutupnya oleh kumpulan Kopratasa.

Mengapa pelancaran buku menjadi sangat penting, apatah lagi pelancaran buku itu dilakukan di sebuah kedai buku yang tersohor seperti Kinokuniya?

Saya suka sekali melihat pelancaran buku di kedai buku sebagai satu hubungan simbosis yang penting kepada pembaca-buku-penulis. Ini memberi satu lagi nilai tambah kepada kedai buku yang tidak berperanan hanya sebagai kedai jualan sebaliknya satu tanggungjawab sosial untuk mendekatkan jurang antara penulis dan pembaca selain secara tidak langsung memperkenalkan jenama rumah penerbitan tersebut. Apatah lagi, pelancaran buku di kedai buku selalunya dapat meningkat penjualan buku kerana pengunjung pelancaran akan lebih teruja untuk membeli dan bukunya boleh ditandatangan oleh pengarangnya.

III

Ketiga-tiga buah buku yang dilancarkan pada hari itu merupakan produk pertama karya asli terbitan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) selepas namanya dijenamakan semula daripada Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) menjadi Institut Terjemahan dan Buku Malaysia.

Harga buku seperti berikut dan boleh dibeli sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada hujung bulan ini. Untuk maklumat lanjut bolehlah klik di sini


IV

Saya suka sekali tema Kinokuniya pada bulan ini, Books In Our Lives. Suatu hari nanti, saya akan merealisasikan rumah yang penuh buku di mana-mana.

Review : Dwilogi Padang Bulan dan Cinta di Dalam Gelas.


Nota : untuk kipas susah mati Andrea Hirata.


Ketika membaca Maryamah Karpov, percayalah, saya benar-benar terkilan dan kecewa. Ibarat layang-layang di awanan yang naik di angin, tiba-tiba sahaja entah tali mata yang kejam telah memotong saya, melayangkan saya diudara lalu jatuh terjunam. Lebih-lebih lagi dikatakan itulah buku terakhir daripada tetralogi Laskar Pelangi.

Mujur-mujur novel ini hadir. Novel ini menamatkan teka-teki apakah nasib Maryamah yang terkenal kerana permainan catur Karpovnya setelah diketepikan habis-habisan oleh pembuatan kapal Mimpi-mimpi Lintang di dalam novel Maryamah Karpov.

2 novel yang didatangkan dalam satu pakej menarik. Tengok gambar dibawah? Menarik kan?

Bertambah menarik, kebetulan novel Dwilogi Padang Bulan dan Cinta di Dalam Gelas diluncurkan pada 25 Jun 2010 dan kebetulan ada teman ke Bandung pada waktu itu. Wah apa lagi, terus minta dibelikan ole-ole Bandung. Begitulah sesiapa yang ke Indonesia kalau temannya penulis. Bukan diminta belikan baju atau kain tetapi minta dibelikan buku.

Sebelum komentar bukunya, sila-sila jenguk promo videonya.

Andrea Hirata menghadirkan kisah yang manis dalam Dwiloginya ini. Seolah-olah buku-buku ini merupakan kajian bertahun-tahun pada kaum Melayu. Biarpun tidak saintifik tetapi bila dibaca dan dibaca perlahan-lahan saya mengakui kebenaran kata-kata Andrea. Andrea menulis bukan nada sinis tetapi naif dan jujur semasa mendedahkan kebenaran dalam kehidupan masyarakat Melayu itu yang gemar ngobrol di warung kopi, sikap suka menggelar-gelar orang.


Andrea tidak mengutuk atau mengkritik tetapi Andrea menulis pandangannya sepertinya dari hatinya yang ikhlas seperti dalam laman web rasminya

Namun Kawan, sesudah engkau membaca Dwilogi Padang Bulan, kuharap dirimu paham pula mengapa aku menulis Maryamah Karpov begitu rupa. Karena, tanpa memahami kekhasan dan keeksentrikan sosiologi dari mana aku berasal, barangkali akan agak susah menerima bahwa sedikit banyak Dwilogi Padang Bulan inspired by a true story.

Maka yang kulakukan di dalam Maryamah Karpov adalah menggambarkan cultural landscape dan moralitas sebuah masyarakat di mana kemudian di atasnya kuletakkan kisah Dwilogi Padang Bulan. Ini adalah desain yang sangat sengaja sesuai dinamika kreativitas.

menjadikan kita sebagai pembaca turut menekur, menelusuri dan memikir kejujuran cerita Andrea tanpa perlu dipaksa-paksa.

Padang Bulan, berkisah Ikal, lelaki yang bertarung sampai penghabisan demi martabat dan cinta yang bersahaja. Namun saya kurang seronok membaca Padang Bulan. Mood-nya seolah-olah turun naik sedikit dan ceritanya dipecahkan terlalu mengikut mozek dan melompat-lompat sehingga emosi pembacaan saya sedikit terganggu. Namun, begitu, Andrea tetap menghidangkan kisah lelaki yang sanggup berbuat apa sahaja demi cinta. Sanggup menjadi tinggi, sanggup belajar catur dan bertarung habis-habisan hanya untuk meninggikan martabat dan sekurang-kurang memenangi hanya sekali salah satu daripada kelebihan si penyaing. Walaupun penghujungnya seperti sudah dapat saya terka sedikit namun keasyikan membaca novel ini masih tidak terganggu.

Apabila membuka helaian-helaian buku kedua, Cinta di Dalam Gelas. Saya seolah-olah menemui kematangan dalam kepengarangan Andrea. Gaya tulisan Andrea yang paling saya sukai seperti di dalam Sang Pemimpi dan Endensor sepertinya ditumpahkan betul-betul ke dalam acuan cerita Cinta di Dalam Gelas. Bermula hanya kisah kecil, Maryamah yang mahu tunduk pada kuasa takdir. Saya tidak membaca terlalu banyak buku yang berunsur feminisme dan ditulis oleh lelaki melalui pandangannya. Ya,perempuan dan kekuatan perempuan memang tema yang klise. Namun ketika saya membaca novel ini, seolah-olah saya tersihir untuk menantangi takdir hidup kerana kekuatan diri yang ada pada Maryamah.

Ini bukan kisah ratapan hidup yang harus ditangisi, namun seburuk-buruk takdir hidup Maryamah, dia menangisi nasibnya hanya semalaman dan selepas itu disekang seluruh air matanya dan menantangi hidup keesokan harinya. Ya, bermula hanya kisah kecil, MAryamah mahu memenangi nasibnya, Andrea terus-terusan mengalirkan saktinya dalam penulisan, membuatkan kita terpesona dengan wibawa dan kekuatan Maryamah yang bukan sedikit, kelicikan dan kepintaran dan sikap obses Detektif M. Nur, kegigihan dan kepintaran Ikal dalam membantu Maryamah menentangi lawannya. Watak-wataknya sepertinya benar-benar hidup. Semua pesona itu dimulai dengan catur. Hanya permainan catur. Menarik sekali sungguh menarik. Mungkin kerana saya salah seorang penggemar kopi dan juga pernah bermain catur menjadikan roh-roh dalam buku ini mudah benar saya hadam dan rasai.


Malah Buku Besar Peminum Kopi yang diomel Ikal membuatkan saya terkikik-kikik tertawa kerana benar lucu, komedi dan sedikit halus memerli. Dalam segelas kopi seperti menyimpan semua rahsia hidup. Antara kata-kata indah dan manis (menyentuh hati saya) ialah

“Jika kuseduhkan kopi,ayahmu menghirupnya pelan-pelan lalu tersenyum padaku.” Mesti tak terkata, anak-anak tahu bahwa senyum itu adalah ucapan terima kasih antara ayah dan ibu untuk kasih sayang yang balas membalas, dan kopi itu adalah cinta di dalam gelas. |Cinta di Dalam Gelas|

Membaca buku Cinta di Dalam Gelas membuatkan saya menimbang-nimbang juga rencana untuk menyambung pengajian, Ingin sekali membuat riset (kajian) budaya. Betapa budaya tidak pernah gagal untuk mempesonakan saya.


Walaupun, Andrea menyatakan, cerita ini based on true story, saya memutuskan ada unsur fiksi dan non fiksi di dalam novel ini. Saya juga tertanya-tanya benarkan lumba catur dianggap seperti permainan hidup dan mati untuk pencintanya ketika sambutan hari kemerdekaan Indonesia? Namun, teman saya di Makassar, Firdaus Amyar memberitahu bahawa apa yang dinukilkan oleh Andrea benar malah Firdaus sendiri memasuki pertandingan catur dan memenanginya.

Tahniah Andrea kerana menghadiahkan buku ini untuk semua peminat dan pembaca sastera nusantara.

Seikat Kembang Merah – review


Mendengar Imaen menyatakan judul bakal buku barunya di Pesta Buku PWTC, hati saya sudah berdetak. Ah, apakah judul lagu Ebiet G. Ade? Elegi Esok Pagi?

Berbulan menanti, nah muncullah cover buku dan blurp-nya. Masa itu saya sudah syak wasangka, wah ini pengaruh lagu Camelia 3. Dan imagi covernya jatuh meleset daripada apa yang saya bayangkan. Saya bayangkan covernya akan jadi begini.


Rupanya begini.


Dengarnya cover ini merupakan Lukisan gaya Monet ‘dikahwinkan’ dengan van Gogh ini cuba diterapkan oleh Saudara Oly dalam lukisan asalnya, dan sampul kulit cerita ini sentuhan Abang Grafik JS – Saudara Helmino.(merujuk surat cinta daripada Jemari Seni)

Seikat Kembang Merah menyerlahkan kematangan Imaen dalam berkarya. Walaupun secara peribadi saya masih meletakkan Vandetta di tempat pertama, karya Imaen yang saya suka, Seikat Kembang Merah menjatuhkan Bohemian dan Singaraning, meletakkan Labyrinth ditempat ketiga. Jikalau dalam Singaraning, pembaca harus membaca membaca ‘bebelan atau ‘syarahan’ Imaen dalam karyanya. Namun di dalam Seikat Kembang Merah, Imaen berjaya menyeimbangkan penceritaannya dan kita tidak mendapati Seikat Kembang Merah tidak bersyarah kepada kita berbanding dengan Singaraning sebaliknya bercerita dengan nada tersendiri. Namun Singaraning itu sarat ilmu ekonomi.

Berbalik kepada Seikat Kembang Merah. sengaja tidak saya singkatkan menjadi SKM kerana saya suka sekali tajuknya. Sebab dalam penghasilan puisi, saya suka sekali meletakkan kembang merah berbanding penggunaan nama mawar merah. Kembang merah kedengaran unik, rahsia, tersendiri dalam kelasnya.

Ops. ops. Baru judul dan cover, saya sudah komentar hampir satu muka setengah (kalau ikut ukuran A4 la). Kembali kepada komentar novel. Seikat Kembang Merah membawa kita menyusuri watak Gary yang tiba-tiba jatuh cinta pandang pertama pada Nur Tahani, cik farmasi semasa mahu membeli ubat. Nur Tahani yang disebutnya sebagai bidadari benar-benar membuatkan dia mahu menjadi lelaki yang disukai oleh Nur Tahani walaupun terpaksa berlakon. Pada masa yang sama Gary dicintai separuh mati oleh Nina (mungkin inilah yang ditunjukkan dalam cover buku ini, Nina mengejar Gary dengan seikat kembang merah, hehe) yang sudi berbuat apa sahaja.

Ini kisah cinta yang biasa, A suka pada B, B suka pada C, Namun apa yang membezakan dengan novel-novel yang lain, gaya penceritaan Imaen. itulah kekuatan Imaen. Sungguhpun dikatakan Imaen menulis dengan nada berbeza, namun saya rasakan hanya di bahagian akhir dan bukan dibahagian pemulaan dan pertengahan. Ini kisah cinta yang realistik. Biarpun Gary menyukai Nur Tahani dan gila bayang, penceritaan Imaen bukannya membuai rasa tetapi seakan-akan penegasan dan mirip dengan realiti bagaimana kita jatuh cinta.

Agaknya kalau sudah jatuh cinta, kita sudi berbuat apa sahaja yang menyenangkan orang yang dicintai itu. Berbuat apa sahaja bukan berenang lautan api atau terjun lombong tetapi membuatkan dia juga jatuh cinta dan menyenangi kita walaupun semua yang dia tahu tentang kita adalah pura-pura. Gary dan Nina mewakili watak-watak ini. Watak-watak yang sudi berbuat apa sahaja kerana cinta.

Ya, jika anda mencari, akhirnya Gary dan Nur Tahani dapat bersama walaupun perbezaan sikap dan fahaman mereka berbeza bagai langit dan ala-ala filem Kiamat Sudah Dekat, anda jangan baca novel ini. Itu nasihat saya. Namun itulah yang paling saya suka apabila Imaen memilih untuk menyatukan Gary dan Nina, bukannya Nur Tahani dan bagaimana watak-watak itu kembali kepada fitrah bukan kerana cinta buta semata-mata tetapi kerana naluri dan kehendak sebenar-benar hati. Berubah bukan kerana cinta, apabila cinta hilang, maka perubahan itu hilang bersama cinta. Namun berubah kerana kehendak diri yang mahu berubah, InsyaAllah akan berkekalan selamanya. Itu yang saya dapat daripada Seikat Kembang Merah.

Katalah Seikat Kembang Merah ini anti-klimaks sekalipun apabila Imaen memilih menulis ending-nya begitu tetapi saya tetap suka sekali. Seolah-olah selepas babak di farmasi itu, Imaen menghentikan wataknya untuk bercerita sebaliknya memilih, dia sebagai pengarang untuk bercerita kepada pembaca apakah pengakhiran novelnya.

Saya menutup novel Seikat Kembang Merah yang saya baca seusai Isyak sehingga tengah malam dengan senyum yang manis seperti saya mengucup seikat kembang merah yang harum.

Oh ya, saya tinggalkan dua buah lagu yang turut mengiringnya saya semasa membaca novel ini. Selamat membaca.

Notakakitangan : sedikit kecewa tak dapat sekuntum kembang merah semasa membeli novel ini dari tangan penulisnya sendiri.

Kartu dari Makassar


Sewaktu tengah hari yang panas, saya mendapat panggilan telefon dari penyambut tetamu. Katanya ada bungkusan untuk saya. Saya fikir itu bungkusan untuk kawan saya yang membeli barangan secara online dan menggunakan alamat saya untuk tujuan penghantaran. Saya berbasa-basi dan bertanya, “Dari siapa?”

Firdaus Amyar.”

Terus sahaja saya menuruni tangga dan menemui penyambut tetamu dan cepat-cepat ‘merampas’ bungkusan itu daripadanya. Haha. Tanpa disedari office-mate-guys sedang masuk pejabat selepas solat Jumaat. Mesti lepas ini ada gosip-gosip. Abaikan.

Sampai dimeja, saya terus mengoyakkan sampulnya secara berhemah. Satu tabiat saya, saya suka menyimpan sampul-sampul surat yang dikirimkan. Malah kalau membuka surat pun saya akan menggunakan gunting dan potong dengan reja yang halus sekali.

Sudah buka dan inilah dia kiriman tersebut.


Buku Atheis. Maka saya sudah ada 3 siri Sastra Klasik. Satu –Siti Norbaya .. Kasih tak sampai karya Marah Silu dan Dua – Surapati karya Abdul Moeis dan yang ketiga Atheis karya Achdiat K. Mihardja.

Oh tidak lupa juga kiriman DVD Koleksi Religius terbaik.

Terima kasih kenalan saya yang sering bertukar pandangan dan budaya. Terima kasih untuk kiriman parcel dari Makassar. Terima kasih Firdaus Amyar yang baru sahaja mendapat anak yang dinamakan Faiz Ashraf Amyar. Semoga budi baik ini sentiasa menjadi kenang-kenangan.

Nota: Rasanya namanya patut Parcel dari Makassar bukannya Kartu dari Makassar kan?


Buku : Beli dan Baca!


Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010 telah seminggu berlangsung. Saya sempat ke sana 2 kali. Satu pada hari jumaat manakala satu lagi pada hari sabtu.

Semasa hari sabtu, sempat juga berkumpul dengan kroni-kroni yang kita sayang. Malah sempat juga menjadikan sofa putih milik booth Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) sebagai tempat bersantai, baca puisi, melepak dan bertukar-tukar cerita. Nasib baik staf ITNM tak kisah dan terima kasih kepada Incik Anuar Manshor yang rasanya bersabar sahaja tengok telatah kami. Kami memang suka buat majlis sendiri dalam majlis orang lain (dengan terkawal tentunya). Oh ya tidak lupa ucapan terima kasih kerana sudi mempelawa kami makan-makan secara percuma. Percuma adalah perkataan yang sungguh mengujakan!

Saya sempat juga menghabiskan sejumlah wang untuk beli buku. Walaupun terlebih 100% daripada budjet yang ditetapkan. Tetapi reda sahaja. Rak buku 3 tingkat yang baru dihadiahkan orang pada bulan lepas pun sudah penuh terisi. Maknanya, itu petanda kena kurang-kurangkan membeli buku untuk seketika. Beringatlah kepada perut dan si dia, yana. (baca dengan nada tegas)

Sepanjang seminggu sebelum dan selepas pesta buku berlangsung, maka kalau saya buka mukabuku mestilah cerita yang diperkatakan adalah mengenai pesta buku: keinginan, keasyikan, jumpa kawan-kawan lama, keghairahan dan semuanya melibatkan pesta buku. Ialah hampir 75% kawan-kawan di mukabuku dari mereka si penggemar buku walaupun mereka bukan dari golongan penulis sekalipun. Namun, selepas menayangkan jumlah buku yang dibeli, berapakah diantara kita yang menyatakan jumlah buku yang dibaca. Paling-paling status yang saya baca akan berkata begini : Banyak buku yang dibeli, tapi tak punya masa untuk membacanya @ Buku dirumah sudah banyak, tapi beli buku baru lagi dan yang seangkatan dengannya.

Lalu saya bertanya, hobi mereka membaca buku atau membeli buku atau membeli buku untuk menunjuk-nunjuk kononnya mereka baca buku? Ini mengimbau ketika zaman saya dahulu. Perpustakaan desa baru dibuku dan saya memang pengunjung setia sehingga kini biarpun sudah bertahun-tahun saya tidak datang, kakak perpustakaan itu tetap mengenali saya. Kewangan keluarga tidaklah begitu mewah untuk saya membeli buku yang saya suka. Malah di dalam keluarga saya, saya seorang sahaja yang tersesat hobi suka membaca. Jadi alternatif, perpustakaan sahaja. Jadi saya membaca buku-buku yang dipinjam. Bukan buku-buku milik saya sendiri. Bila dewasa, saya membeli buku dengan duit yang kumpul sendiri.

Untungnya duduk di asrama, abah bagi elaun bulanan dan saya tidak guna untuk perkara lain selain membeli buku. Sebab itu, saya sangat marah sekali kalau buku-buku yang saya beli hilang. Setiap buku ada kenangan tersendiri. Pernah sekali itu, saya terbeli buku yang kurang bagus isinya. Saya kecewa kerana saya membeli buku itu ketika kewangan sedikit mendesak dan rupa-rupanya promosi buku itu indah khabar dari rupa. Lalu sehingga kini, saya tidak pernah membeli buku hasil tulisan penulis itu. Itu sisi negatif saya, barangkali.

Saya tidak kagum dengan mereka yang membeli banyak buku tetapi hanya menguar-uarkan jumlah buku yang dibeli, meletakkan foto buku-buku tersebut di blog namun langsung tidak sempat membacanya. Kalau-kalau mereka membaca pun bukan dengan analisis yang kritis, malah seolah-olah buku-buku itu tidak membantu dia memandaikan fikirannya. Lalu apa sumbangannya selepas membeli buku itu?

Saya lagi kagum dengan mereka yang tidak dapat membeli buku tetapi banyak membaca. Mereka tidak dapat membeli buku mungkin kerana sebabnya seperti saya ketika saya kecil dahulu. Malah saya pernah berkenalan dengan orang-orang yang ghairah mahu membeli buku tetapi tidak cukup wang, lalu dia meminjam buku dengan banyak dan kerap diperpustakaan. Mereka membaca dengan sisi yang berbeza. Mampu mengupas isi buku dari sudut yang kadang-kala kita tak terfikir pun. Mereka memperoleh itu dari buku-buku pinjaman. Lalu kalau bercakap dengan mereka, kita jadi kagum dengan fikiran mereka.

Buku dimiliki untuk dibaca dan bukan untuk dihiasi dirak sahaja. Buku ditulis untuk dibaca, untuk diteroka fikiran penulisnya dan untuk disebarkan kepada orang lain, ilmunya. Jikalau buku dibeli untuk hiasan dirak sahaja, lebih baik beli replika buku sahaja kan?

 

Notakakitangan : Ini entri  peringatan kepada saya.

Ingatan pada Suatu Kasih Yang Tak Jadi


(Nota : Untuk kamu, yang aku tahu akan membacanya.)


Zurinah Hassan – Ingatan pada Suatu Kasih Yang Tak Jadi


Kesilapannya

kau tak berdaya berterus-terang

dan aku tak berdaya mentafsir


Kesilapannya

kau mengatur gambar-gambar

dalam sebuah album yang indah

sedang aku tidak pernah melihat gambar-gambar itu


Kesilapannya

kita telah bertemu

dalam sebuah mimpi yang menggembirakan

tetapi aku lebih gembira

bila terjaga dari mimpi itu.


ZURINAH HASSAN


Pesanan Untuk Seseorang


Ada satu yang mengikat kita lagi : Buku.

Jadi, simpan sahaja. Namun jangan hilangkan.


Supaya suatu hari nanti, kau atau aku. Masing-masing punya alasan untuk bertemu.

Untuk memulangkan dan untuk menerima.

Untuk memberi dan untuk mengambil.

atau

untuk memulakannya atau menamatkannya


(Tayangan gambar: Filem – Definitely, Maybe)

Beg-Buku dan Baca-baca@LRT


Zaman muda-muda, saya suka menyandang handbag yang kecil molek. Lambang wanita elegen – kononnya. Ini semua akibat pengaruh kakak saya. Kemudian saya membesar dan membesar dan mula memilih tata gaya sendiri mengikut kehendak diri.

Saya sudah tinggalkan zaman handbag kecil molek yang muat-muat untuk masukkan purse. Keperluan diri semakin banyak, purse mengembung dengan segala macam kad-kad dan resit-resit yang mungkin berguna suatu hari nanti. Kalau berjalan mahu juga membawa paling-paling tidak, compact powder atau eyeliner. Sesekali mahu bawa kamera. Namun sebab yang utama, saya akan membawa sebuah buku di dalam beg itu.

Jelas handbag kecil molek tidak memenuhi kehendak diri dan saya mula memilih membawa beg yang sebesar alam yang boleh membawa sekali sekalian barang-barang seperti yang tersebut di atas. Dahulu, sebelum saya ada Arjuna, saya selalu kelintar Kuala Lumpur menggunakan perkhidmatan awam. Sebut sahaja mana perkhidmatan awam yang saya tidak pernah naik dan hafal laluannya. Dari LRT, Monerail, Star, KTM (yang lembap macam siput), semua saya pernah naik. Yang paling menyeronokkan (atau tidak seronok?), saya punya masa untuk membaca semasa naik perkhidmatan awam. Ya, saya ada kebolehan membaca dalam train yang bergerak-gerak.

Ketika itu mungkin saya dilihat sebagai alien atau mungkin dianggap sebagai mengada-ngada dan menunjuk-nunjuk pandai dengan membaca sekian-kian judul buku yang aneh-aneh di dalam train. Tetapi ada saya kisah? Keanehan itu selagi tidak menyakitkan hati orang lain, tidak apa kan? Daripada duduk di train membuang pandang pada kelakuan-kelakuan manusia akan mencetuskan pelbagai spekulasi liar, baik saya habiskan sekian banyak buku yang tidak terbaca itu.

Bila ada program ini, saya senyum-senyum sahaja di dalam hati.

Jadi kawan-kawan. Sokonglah ya.


Notakakitangan : Beg saya sudah terkoyak. Siapa mahu sponsor beli baru? Kamu? Ya, terima kasih . 🙂

Salun Eksotikata : Sajak-sajak yang eksotik?


Ada bidadara mengirimkan buku ini dari atas langit. Aku menjengah melihat kalau-kalau ada bulu-bulu halus yang berguguran dari sayapnya untuk aku jadikan bantal alas tidurku. Nampaknya tiada.

Baik. Aku mengarut sahaja. Buku ini dikirimkan oleh Wahyudi MY. Kenalan aku diblog. Aku tidak pasti samaada aku perlu bayar ataupun menggantikan dengan 3 balang chocolate cookies (baca : yang sedap tentunya.. haha) seperti dalam perbualan tin kosong kami di facebook. Itu aku tidak pasti. Masih tidak pasti. Lalu Wahyudi, sila jawab pertanyaan ini.

Atas dasar terima kasih (dan bodek tentunya), aku dengan senang hati mahu membuat komentar terhadap puisi-puisi yang dikompilasikan dalam satu judul yang menarik : Salun Eksotikata (Eksotik Kata?)

Susah untuk tidak menyukai sajak Yang Mimi Mortica. Sajaknya ringkas dan padat. Mungkin kerana aku sering memilih gaya penulisan sebegini menjadikan subjek-subjek yang disentuh oleh Yang Mimi Mortica menjadi perhatian aku. Sajak-sajak patah hati dan hancur jiwa dipersembahkan dengan penuh bersahaja,pendek tetapi terasa. Infiniti dan Stragulasi merupakan antara sajak yang aku gemar dan juga Anestesia. Antara bait dalam sajak Infiniti, Sepemergian dia/aku ada mencoba/menginap dihati kosong yang mendatang/ tapi kasur mereka biasanya/terlalu keras/dan hapak hawanya membuat aku lemas. Sekiranya Yang Mimi sedikit serius dalam pemilihan katanya dan mengedit sedikit sebanyak kata-kata yang kurang perlu di dalam sajak-sajaknya yang lain, Yang Mimi boleh pergi lebih jauh dalam arena puisi yang pendek dan sarat makna.

Ada beberapa sajak Hafiz Hamzah yang panjang dan sedikit melelahkan. Hafiz sekadar melepaskan perasaan dan pemikirannya dalam kata-kata yang didirikan dalam bentuk sajak. Sebagai contoh dalam sajak Pergi Gemerlap. Ada pencampuran pemikiran disitu menjadi tujuan dan dirian sajak ini kurang jelas. Apakah sajak ini khususnya untuk LOLOQ atau apa? Namun, apabila aku senang sekali membaca sajak Air Mata Hati dan sajak-sajak pendeknya.

IpuTempe menghidangkan sajak-sajak yang erotik. Perkataannya yang dipilih kalau orang salah tafsir boleh bawa maksud yang bukan-bukan (aku tidak tergolong dalam orang-orang begini.. hahaha). Adakalanya bila membaca sajak-sajak IpuTempe seakan membaca sajak-sajak Rendra (Allahyarham). Erotik bahasanya bukan bererti lucah tetapi sarat kritikan. Suka sekali saya membaca sajak Interlokusi dan bagaimana IpuTempe membuat menulis penutup yang baik dalam sajak itu. Semoga ditiap kelahiran/anakmu/menjanjikan dia sejalang aku/supaya isteri cantikmu/menangis seperti ibuku.

Sajak Elle H. Afandi ya.. sajak Elle H. Afandi ya. Sajak Serendepiti itu menyenangkan serta Gaun Putih. Penceritaan dalam Gaun Putih sedikit ada sisi hitam (benarkah). Seperti ada tragis apabila Elle H. Afandi menulis ..dan lalu ketawa/dan terus berlari-lari kecil/memijak lopaklopak air, yang sedikit terpercik/pada gaun putihmu. Putih dan lopak? Oh.. Indah~

Amaluddin Zhafir juga menulis sajak yang mengandungi perkataan yang berani. Bila baca sajak-sajaknya, rasa macam tak berani nak komen lebih-lebih pula. hahaha. Baca sahaja sajaknya dalam Kalau Betul Ini Terjadi : kalau betul muncul malaikat / periksa jantina!/rogol biar tersumbat / pasti itu jalan keluar / nafsu pun melulu romantik/……………..

Imran Abdul Jabar. Imran menulis puisi dalam bentuk perbualan. Makna aku membaca perbualan dalam bentuk puisi (sila pilih ayat yang betul). Namun bahayanya menulis puisi dalam bentuk dialog adalah memerlukan penutup yang baik. Penutup sajak yang merangkumi semua makna yang dihidangkan dalam sajak. Lantaran menulis puisi dalam bentuk dialog yang tiada penutup sajak yang jelas akan menampakkan sajak itu sedikit lewah. Atau mungkin aku yang tidak faham. Itu aku tidak pasti.

Danielle Corleone. Kalau mahu faham sajaknya mungkin harus faham judul sajaknya yang panjang seperti judul itu sudah terdiri satu sajak. Sepertinya konklusi untuk ayat-ayat dalam sajaknya ada di dalam judulnya. Itu pendapat aku. Mungkin aku betul, mungkin aku yang salah. Jadi apa jawabnya? Heh!

Ledisorde. Baik. Puisi Ledisorde itu seperti banyak yang sengsara dalam bercinta. Pernah dengar ungkapan begini? Bercinta itu penyiksaan yang indah? Hah seperti itulah aku membaca puisi-puisi cintanya. (puisi cintakah?) Ini puisi cinta versi tanpa melankolik. Aku suka dengan ayat ini dalam puisinya yang bertajuk Mimpi sang Realis…….: Hari/hari begini/datang saja, musnahkan aku/apa saja untuk lihat kau tersenyum.

Bila meneliti sajak Ili Syazwani, aku mendapati Ili Syazwani gemar sekali penggunakan pengulangan dalam sajak-sajaknya. Contohnya dalam puisi Jangan Lama Sangat Wahai Siang : Ah/ Sudah Siangkah/Terpaksa aku lebarkan tawa/Terpaksa aku alunkan kata/Terpaksa aku gulungkan jiwa/Terpaksa aku tutup segala seri yang hanya tinggal separa. Perkataan terpaksa hampir diulang setiap baris. Penggunaan teknik ini dipakai untuk kejadian-kejadian tertentu seperti penegasan terhadap isu yang ditulis dan ada sebab khusus kenapa harus ada pengulangan perkataan dan mengapa perkataan itu harus diulang. Jika tidak suatu sajak itu akan dilihat terlalu melewah dan tidak mewah perbendaharaan kata. Kalau Ili Syazwani memperbaiki kelemahan ini, Ili Syazwani dapat melukiskan sajak dengan lebih baik lagi

Sajak-sajak WaterLily berbancuh 2 rasa, melodrama dan emosional. Nada melodrama dan emosional ini bukanlah tidak boleh digunakan didalam penulisan sajak Cuma harus dikawal supaya tidak kelihatan melewah dan melanklonik (sajak waterlily masih terkawal lagi) Walaupun begitu, aku suka sekali Monolog Dalam Hujan (mungkin sedikit bias sebab aku suka hujan, tidak kisah lah)…..Hujan jangan hentikan gugurmu/kerana aku suka kedinginan itu/nanti malam menjelma.bisa kita bica-bicara/kisah hati separa edan/kisah jiwa separa lara.. Oh tidak dilupakan WaterLily juga menulis sajak kritikan sosial yang baik dalam sajaknya Kerana tidurmu. Mulanya aku fikir, dia mahu menulis tentang perkara lain tetapi Waterlily berhasil menghidangkan penamat yang baik seterusnya membunuh. Wah wah.. J

Wahyudi MY. BAik. Dialah yang mengirimkan buku ini bermaksud aku mengenali diri secara tidak peribadi kan? Membaca sajak-sajak Wahyudi kita menemui pemberontakan dan keinginan untuk bebas. Seperti Wahyudi menukilkan sisi gelap yang tidak tertanggungkan. Puisi-puisinya juga biasanya bersimbah dengan nada Indonesia. Wahyudi lebih dilihat sedikit selektif dalam pemilihan perkataan untuk dimuatkan dalam puisinya serta berani membebaskan perkataan-perkataan yang urm urm berani . Metaforanya sarat makna. Berbicara soal sajak-sajak Wahyudi bukan berkisar soal hati dan kelukaan, tetapi kritikan-kritikan pada hidup. Baik, cukuplah aku menulis. Baca sahaja puisinya yang bertajuk Selamat Bergelut Dengan Malam : Jambatan basah kerana ada/Mengguyur dengkur/ditiang-tiang gerimis/dibawah/nyala tidur/terbakarjelaga/sampai ke sepi kasur.

(Sambil mengesat peluh) Untuk berlaku adil dalam membuat komentar, aku langsung tidak menjenguk ke blog-blog mereka supaya aku tidak terbawa-bawa penilaian yang kurang adil walaupun keinginan itu melonjak macam air deras lajunya.

Secara keseluruhannya, Salun Eksotikata boleh menjadi pilihan kepada peminat puisi yang menyisihkan puisi yang sarat metafora dan kata-kata berenda. Puisi-puisi dalam buku kecil ini terbuka dalam pemilihan katanya, bebas seperti jiwa-jiwa penulisnya, tidak ditahan-tahan dan disimpan seperti puisi konvensional lain. Banyak puisi yang terhasil dari keresahan jiwa, pencarian, sakit dilukai cinta yang merupakan sebahagian kisah-kisah yang dilalui oleh anak muda kini. Ada puisi-puisi yang mengandungi kritikan sosial dan parodi sifatnya. Malah ada penyajak yang memilih perkataan-perkataan yang lari dari tema-tema konvensional seperti awan, bulan, bintang dan awan. Mereka menghidangkan perkataan baharu (baru?) biasanya disadur daripada bahasa Inggeris. Satu perkembangan yang baik. Namun kepada sesiapa yang membaca sajak-sajak dari tanah seberang, pastinya akan perasaan betapa banyak puisi-puisi dalam buku ini ada yang terkena tempias gaya puisi dari sana.

Aku cukup menyenangi reka bentuk buku dan susun atur puisi serta karikatur yang mengiringi puisi-puisi dalam buku ini. Walaupun kumpulan puisi ini tidak mencapai tahap yang cemerlang dan benar-benar memuaskan tetapi jika sedikit penambahbaikkan seperti pemilihan kata yang lebih teliti, membuang ayat-ayat yang kurang perlu, sedikit segan dalam perkataannya dan lain-lain yang boleh difikirkan kemudian hari, tidak dinafikan mereka-mereka punya potensi untuk pergi lebih jauh lagi. 🙂

Ini sekadar komentar pembaca bukan lulusan sarjana Sastera apatah lagi aku ini aliran yang berbeza. Aku menulis ini, tanda sokongan pada mereka-mereka yang mencintai sastera, menyayangi bahasa yang indah serta kesukaan mereka pada tulisan dan buku-buku yang memabukkan. (eh aku ini boleh ambil sastera sebagai Sarjana kah? Sila Jawab poll dibawah. Sekian)

Baik, sekarang aku boleh baca blog mereka dengan tenang-tenang. Oh baru aku perasan. Aku menulis entri ini 5 jam. 5 jam untuk satu entri. Wah wah wah…

Oh ya, anda boleh beli buku Salun Eksotikata ini disini, di sini,di sana,di sinun. atau klik sahaja pada nama-nama mereka. 🙂


Notakakitangan (yang panjang panjang) : Kalau suatu hari, mimpi mengucup aku, aku ingin hasilkan buku puisi seperti ini, ada gambar-gambar dan tidak konvensional. Seperti puisi-puisi yang aku tulis dalam buku hitamku itu. Sesiapa yang terlibat dalam proses membuat buku ini, rela-relakan diri untuk bekerjasama dengan aku ya (sambil buat muka separa comel).


Resensi Novel Maryamah Karpov


Atas budi baik Firdaus Amyar, kenalan aku di blog, aku beroleh naskah Maryamah Karpov sebelum naskah itu tiba di Malaysia. Terima kasih saudara Firdaus.

Aku membaca novel ini dengan harapan yang tinggi kerana ketiga-tiga novel buah tangan Andrea Hirata tidak menghampakan aku. Lebih-lebih lagi apabila novel ini dikatakan menulis mengenai perempuan dari sisi berbeza yang tidak pernah diteroka oleh penulis Indonesia yang lain. Salah satu kelebihan Andrea ialah Andrea bisa menjadikan sesuatu yang kecil itu menjadi besar dan manis.

Plot novel bermula dengan Ikal di tahun akhir pengajian di Perancis dan kemudian dia kembali ke Pulau Belitong, Indonesia. Kemudian Ikal masih diburu dengan keinginan bertemu A Ling seperti di novel-novelnya sebelum ini. Keinginan untuk berjumpa dengan A Ling yang menurut info terdampar di antara Pulau Batuan membuatkan Ikal melakukan kerja-kerja diluar batas logika dan kekuatan fizikalnya. Dia mula melakukan kerja-kerja kuli untuk menampung perbelanjaannya membeli perahu untuk menemui A Ling. Apabila duitnya tidak cukup, maka Ikal mula membuat idea gila dengan membina perahu seterusnya membawanya ke Pulau Batuan menemui A Ling. Idea-idea gila Ikal inilah yang sering membuatkan dia dipersendakan orang kampungnya dan mereka sering membuat taruhan ke atas Ikal. Namun berkat daripada mimpi dan keinginan Ikal, dia Berjaya membawa A Ling pulang ke Pulau Belitung.

Secara jujurnya, aku sedikit kecewa dengan Maryamah Karpov kerana jalan cerita tidaklah seperti yang digembar-gemburkan. Andrea tidak memperkembangkan watak mak cik Maryamah yang pintar bermain catur karpov. Bahagian itu disentuh sedikit sahaja oleh Andrea di dalam novel ini. Malah kisah Nurmi, iaitu anak Mak Cik Maryamah yang pintar bermain biola hanya mendapat perhatian yang sedikit sahaja walhal aku tertunggu-tunggu watak itu dikembangkan (disebabkan pengaruh promosi novel ini)

Selain daripada itu plot novel ini dikembangkan sedikit lambat, novel ini hanya berlegar-legar pembuatan kapal sahaja. Aku rasakan 35 bab awal novel ini menarik sekali tetapi apabila memasuki bab 36 dan seterusnya, novel ini berjalan lambat dan mellow. Kisah pembuatan kapal dan pelayaran Ikal ke Pulau Batuan ditulis terlalu banyak sehingga membuatkan mood pembaca menjadi resah, tidak seperti ketika aku membaca Laskar Pelangi dahulu.

Walaupun novel ini sedikit mengecewakan aku sebagai pembaca kerana jalur ceritanya tidakla seperti yang aku harapkan tetapi gaya Andrea menulis masih tidak hilang. Di dalam novel ini, Andrea seakan-akan menulis sosio-budaya Pulau belitong merangkumi sikap-sikap kebiasaan Melayu Belitung yang gemar bertaruh, suka minum kopi di warung. Membaca novel Maryamah Karpov seakan-akan membuat kita membaca tesis mengenai demografi penduduk Pulau Belitung dalam bentuk penceritaan yang menarik. Kekuatan novel ini ialah Andrea Hirata bisa menjadikan hal-hal yang kecil menjadi sebegitu besar dan indah. Gaya penulisan Andrea itulah yang membuatkan aku tidak jemu untuk terus membacanya.

Maryamah Karpov telah melengkapkan tetralogi Laskar Pelangi. Aku berharap novel ini cepat-cepat datang ke Malaysia. Menanti itu satu penyiksaan dan lagi menyiksakan kalau-kalau yang dinanti itu tidak seperti yang diharap (sambil mengenyit mata pada kaksu)